Friday, June 25, 2010

KENDURI NASI BERIANI

Akhirnya setelah beberapa kali cuba mencari nasi beriani yang dikatakan sedap dapat juga dibeli.  Rakan blogger yang berkongsi bahawa ada nasi beriani sedap dijual pada hari Jumaat berhampiran dengan Masjid Al Taqwa di TTDI.

Memang ramai betul pelanggan yang beratur untuk membeli dan makan sebelum masuk sembahyang Jumaat.  Periuk besar-besar macam orang berkenduri pulak.

Saya pun beraturlah juga.  Tak ada siapa pulak kata supaya pergi ikut belakang jika nak tapau.  Saya pun terlupa yang hari itu sudah dipesan oleh rakan blogger supaya pergi ikut belakang saja.

Apapun memang boleh disahkan sebagai nasi beriani yang sedap.  Saya beli ketiga-tiga jenis lauk sekali iaitu ayam, kambing dan daging.  Paling sedap ialah kambing!


Sunday, June 20, 2010

MENJADI BAPA DI HARI BAPA

Suami hampir pengsan.  Saya pula terkedu langsung tak dapat berkata pun.  Anak-anak yang lain juga begitu terkejut untuk mengeluarkan komen mereka.

Anak sulung saya datang ke rumah sekitar tengahari tadi untuk memberitahu bahawa dia sudah menjadi bapa pada hari ini.  Tiada siapa di antara kami yang tahu bahawa dia telah mengahwini juga kekasih hatinya.

Kami sekeluarga memang menentang bila anak saya memberitahu dia mahu berkahwin tahun lepas.  Perempuan yang kini menantu saya adalah berbangsa dan beragama lain serta dari keluarga yang amat sosial.

Anak sulung saya memang bekerja di Penang sebelum ini.  Jadi kami tidak menghidu perkara seperti ini.  Rupa-rupanya mereka berkahwin juga.  Dua bulan lepas dia sudah ditukarkan balik ke sini, tetapi dia memberitahu.

Sampai di saat ini saya terlalu amat sedih.  Tetapi apa yang dapat dilakukan?  Dia bukan saja sudah berkahwin, malah hari ini, anak sulung kami juga sudah menjadi seorang bapa.

Nasib baik kami tidak penyakitan.  Suami saya memberi kata putus bahawa beliau tetap dengan keputusannya kerana anak saya telah memilih jalannya sendiri.

Tetapi hati seorang ibu tidak begitu.   Walau marah, walau sedih, ibu mahu anak-anak sentiasa di samping, sentiasa memberitahu apa mahu dan apa buat anak-anak.

Walaupun anak sudah menjadi bapa, suami menjadi datuk dan saya menjadi nenek, Hari Bapa, hari ini amat menyedihkan.

Thursday, June 17, 2010

AZRINAZ SUDAH BERSTATUS JANDA

Memang manusia berdepan dengan tuah dan musibah yang berbeza-beza.  Ada kalanya tuah membawa rezeki yang melimpah ruah.  Di masa lain, musibah meragut segala kekayaan dan kebahagiaan.

Berkias-kias pula saya.  Sebenarnya saya nak berkongsi berita yang sudah jelas dan nyata.  Mungkin tidak begitu mengejutkan.  Tetapi terasa juga kesannya apabila diumumkan bahawa Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah menceraikan Azrinaz Mazhar Hakim, bekas kakitangan selebriti TV3.

Mereka berkahwin pada tahun 2005.  Selepas kelahiran dua cahaya mata, seorang putera pada tahun 2006 dan seorang puteri pada tahun 2008.

Pada lewat semalam, Istana Brunei telah mengumumkan bahawa segala anugerah penghormatan dan gelaran Di Raja telah ditarik balik.

Azrinaz Semasa 'Bahagia'

Gambar di atas adalah antara kenangan Azrinaz bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izuddin Waddaulah dan isteri pertama baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Ketika gambar itu diambil pada tahun 2008, Azrinaz bergelar Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim.  Harini beliau sudah berstatus janda.

Sunday, June 13, 2010

REMAJA SAMSENG

Apabila semakin banyak remaja dan kanak-kanak menjadi hantu, pelesit dan samseng serta parasit, bermakna sistem pembelajaran formal dan informal kita begitu pincang.  Diibaratkan anak-anak yang terdidik baik dibandingkan dengan mereka yang keliru dan tercelaru.

Suasana sekeliling adalah acuan pembentuk yang menentukan rupa bentuk ahli masyarakatnya.  Menteri dan pemimpin masyarakat tak boleh mencari kesalahan pada mangsa keadaan itu.

Sistem pelajaran kita tidak cukup menyeluruh untuk membentuk insaniah dan jati diri.  Pelajaran moral, sivik dan agama tidak cukup kerana modulnya tertentu kepada beberapa masa yang amat singkat untuk beberapa tahun pembelajaran.  Di samping itu sistem kita mendukung sistem yang menghukum, bukan sistem mendidik.

Ini amat berbeza dengan sistem menyeluruh seperti di Amerika umpamanya.  Setiap penuntut diwajibkan mempelajari mata-mata pelajaran ini hingga ke peringkat universiti.

Banyak institusi juga menjana sistem penghukuman yang lebih mirip kepada sistem mendidik agar mereka dapat menjadi insan yang lebih baik.  Umpamanya, seorang remaja yang ditangkap kerana mencuri di supermarket akan didakwa tetapi hukumannya adalah khidmat sosial dan kemasyarakatan untuk satu tempuh agar mereka insaf dan belajar mengenal budaya kerja yang baik.

Bila semakin banyak remaja menjadi penjenyah dan samseng di Malaysia, kita harus mempersalahkan sistem yang ada.  Pemimpin tidak perlu saling tuduh menuduh.  Apa yang perlu dilakukan ialah menggembeling tenaga mencari jalan penyelesaian terbaik.

Thursday, June 10, 2010

KAREKTOR AP-AP BN???

Kecoh betul dengar cerita di Parlimen semalam. Menurut berita dua AP dan seorang senator BN telah menceroboh majlis perbincangan antara ibu-bapa penuntut cemerlang keturunan India dengan beberapa AP dari Pakatan Rakyat.

Ternyata pihak Sekretariat Parlimen sendiri telah memberi izin untuk kumpulan ibu-bapa dengan AP-AP Pakatan Rakyat itu.  AP dan senator BN itu ternyata tidak bijak menangani permasaalahan.  Mereka berlagak samseng.  Orang yang bijak dan baik budi pekerti akan bertanya dan selidik dahulu tentang keadaan sebenar.

Geli hati juga.  Ini melibatkan AP Bung Mokhtar Radin yang mempunyai kes dengan Mahkamah Syariah tentang perkahwinannya dengan artis Zizie Izette.  Bung Mukhtar ini mempunyai reputasi menimbulkan pelbagai kekecuhan tentang pelbagai isu di Parlimen.

Apapkah ini karektor seorang yang layak duduk sebagai wakil rakyat?

Wednesday, June 2, 2010

REGIM ISRAEL BINATANG

Pada hari Isnin lalu, pasukan komando tentera laut Israel telah menyerang kapal pembawa misi kemanusiaan flotilla ke Gaza.  Mereka telah mengempur dan mengakibatkan beberapa aktivis 16 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera.  Ini mengundang reaksi kemarahan dari seleuruh dunia.

Regim Israel memang kejam ala binantang lagaknya.  Kita memang mengutuk tindakan keji dan tidak berperi kemanusiaan itu.

Diberitakan Israel akan membebaskan semua aktivis dan sukarelawan asing yang ditahan dalam serangan itu.  Katanya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pembebasan itu selepas mesyuarat kabinet mereka.  Mereka telah mengambil kira tekanan ketua-ketua negara dunia yang mendesak supaya siasatan dijalankan segera mengenai serangan komando tentera Yahudi di perairan antarabangsa dan meminta Israel membebaskan kesemua tahanan.

Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.  Semua warga asing yang ditahan di atas kapal pembawa misi kemanusiaan itu akan dihantar pulang ke negara masing-masing Khamis ini.

Kita sama-samalah mendoakan supaya rakyat kita yang turut ditahan akan segera pulang ke Malaysia.  Semoga mereka selamat dan tidak mengalami trauma yang berat.