Friday, December 31, 2010

DI AMBANG TAHUN BARU

Hari ini adalah hari terakhir untuk tahun 2010 ini.  Begitu cepat masa berlalu.  Sedar-sedar 365 hari di tahun ini tamat pada hari ini.

Elok juga dinilai dan diamati segala yang berlaku pada diri, masyarakat dan negara sepanjang tahun ini.  Semoga semuanya dapat menginsafkan kita dan supaya kita dapat merencanakan matlamat yang lebih baik dan bererti untuk tahun mendatang.

Jika dipanjangkan umur, kita semua mesti berusaha untuk mencapai misi menjadi insan yang beriman dan mendapt keredhaan Illahi.  Dengan itu suasana akan menjadi lebih baik.  Insya Allah.

SELAMAT
TAHUN BARU 2011

Monday, December 20, 2010

CENDERAHATI TIADA SANGAT FUNGSI

Sudah hampir dua bulan, hari-hari dipenuhi dengan majlis pertunangan, pernikahan dan perkahwinan.  Bagi yang mengundang dan diundang semua ini bererti bertambah kempes tabungan wang.  Malah gaji sebulan untuk bekalan dan keperluan sendiri terpaksa di kecutkan untuk menampung permintaaan sosial.

Apa yang selalu jelas ialah banyak mereka yang membuat kenduri secara besar-besaran biasanya menanggung hutang bertahun-tahun lamanya. Kebanyakan pasangan yang berkahwin ini tidak mempunyai wang yang cukup untuk mempaung perbelanjaan yang melampau. Namun kerana terdesak dengan permintaan sosial, mereka berhutang dengan kooperasi atau seumpamanya.

Saya hanya tak habis fikir saja. Sampai bila kita semua harus begini? Kenapa harus adakan majlis besaran. Tak perlu pun cenderahati yang tak sangat berfungsi.

CENDERAHATI TERAKHIR SAYA DAPAT

Lihat saja cenderahati seperti gambar di atas.  Harganya agak mahal juga.  Paling-paling rupanya saja cantik dan paling tidak orang hanya letakkan untuk hiasi kabinet hiasan atau letakkan aksesori kecil-kecilan.

Saturday, December 11, 2010

BILA MARAH SUDAH MEMUNCAK

Takut rasanya melihat rusuhan yang sedang berlaku di London tu.  Itulah baru dinamakan tunjuk perasaan.  Perasaan marah rakyat sudah memuncak sampai ke tahap maksima.  Ia tidak dapat dikekang lagi.

Kita dapat merasa kemarahan dan kehampaan yang mendesak mereka bertindak drastik seperti itu.  Dalam keadaan ekonomi yang tidak meyakinkan, rakyat pula terhimpit perit dengan kos hidup yang semakin tinggi, pihak berkuasa memilih jalan mudah dengan menaikkan yuran pelajaran.

Ketika rakyat Thailand merusuh di Bangkok, kita semakin lama semakin tidak dapat menerima keangkuhan yang ditunjukan oleh perusuh-perusuh itu.  Tetapi apabila rakyat Britain merusuh, kita ikut simpati dengan mereka.

Pemerintah kita patut berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sifat warga kita yang tidak suka bergaduh dan merusuh.  Jika ada tunjuk perasaan, ia tidak pernah sampai ke tahap merusuh.  Tapi tak tahulah kalau perasaan marah ikut sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal lagi.

Tuesday, December 7, 2010

TAHUN BARU 1432H

SALAM MAAL HJIRAH 1432

Selamat merayakan Maal Hijrah ini dengan penuh rasa insaf, dan dengan penuh harapan.  Semoga tahun ini akan memberi rahmat yang jauh lebih baik kepada kita.  AMIN.

Selagi usia masih ada, peluang juga memang masih terbuka luas untuk kita semua perbaiki diri.  Marilah kita sama-sama mencari keredhaan Illahi.

Saturday, November 27, 2010

SNEK KEROPOK

Keropok Kacang Peas

Tadi ada saudara datang bertandang dan ziarah ke rumah.  Mereka membawa keropok yang agak unik.  Lihatlah gambarnya seperti di atas.  Kata mereka ini adalah keropok kacang peas.

Pertama sekali kami sekeluarga sekelian tengok dan makan.  Rasanya sedap juga.  Lalu saya tanyalah resipi.  Mereka menjawap itu sebenarnya keropok tunjuk.  Jadi mereka pun tak tahulah resipinya.

Semua ketawa geli hati.  Memang tak ada resipi.  Kalau siapa nak makan kena pergi cari sendiri di pasar tani la.

Wednesday, November 17, 2010

HARI RAYA KORBAN

SELAMAT

HARI
RAYA
AIDIL ADHA
Maaf Zahir Batin

Monday, November 15, 2010

SENI WARISAN CINA

Semalam saya suami isteri pergi berjumpa kawan yang datang ke Kuala Lumpur sempena majlis pertunangan anaknya.  Mereka sebenarnya tinggal di Penang.  Tapi anak mereka bertunangan dengan dengan anak keluarga yang tinggal di TTDI.

Seni unik set teko

Saya nak cerita pasal set teko Cina yang berada di dalam bilik penginapan hotel mereka itu.  Ia adalah sebaagian dari kemudahan dan kemudahan yang terdapat di dalam berkenaan.

Tak tahu la kalau saya ni jakun ke apa.  Saya memang berkenan sangat dengan set teko ini.  Nampak seperti buatan tangan, kerana bentuk dan buatannya tidak 100% sekata.

Set teko ini adalah untuk hidangan empat orang di mana tekonya agak tinggi bertangkai empulur rotan dan cawan sebanyak empat biji pula adalah seperti cawan lompang tapi bersaiz besar seperti cawan. 

Sunday, November 7, 2010

BENCANA BANJIR

Sungguh benar segalanya adalah ketentuan Allah SWT.  Kita hanya dapat merancang, Tuhan juga yang menentukan.

Saya sungguh kasihan melihat sanak saudara di Alor Star yang sedang mengalami musibah banjir.  Ibu saudara saya yang merancang membuat kenduri kahwin anaknya terpaksa membatalkan majlis itu kerana jalan hingga ke rumahnya dinaiki air se dalam atas paras pinggang.

Walaupun begitu mereka tidak berpindah ke pusat penempatan sementara banjir kerana kawasan mereka di istihar tidak merbahaya dan air juga  sedang surut.  Penduduk diberi pilihan untuk pindah atau tinggal di rumah jika mereka mempunyai bekalan yang cukup.

Friday, October 15, 2010

MAKAN BUBUR NASI

Cuaca amat panas sejak seminggu yang lalu.  Kami anak beranak saling bergiliran demam dan batuk.  Jadi semua tak selera makan.  Satu-satunya makanan yang membuka selera ialah bubur nasi.

Bubur Nasi aka Bubur Lambuk

Banyak orang mengenalinya sebagai bubur lambuk.  Tapi di kampung saya kami memang menamakan masakan ini bubur nasi.

Oleh kerana badan masih kurang sihat dan tenaga berkurangan, saya buatkan seadanya saja.  Saya main lebur-lebur saja daging dan udang cincang.  Hasilnya lumayan juga.  Habislah semuanya.

Tuesday, October 5, 2010

TIDAK MAKAN AYAM & DAGING

Sekarang semakin banyak orang menyarankan supaya kita kurangkan makan ayam dan daging.  Hujjah kukuh ialah kerana jenis makanan dedaging ini susah dihadham dan menimbulkan banyak masaalah kesihatan.

Apabila tidak makan ayam dan daging maknanya, biasanya seseorang mesti pula menjadi seorang yang memakan jenis sayur-sayuran dan buah-buahan.  Memang banyak baiknya.

Pertamanya kos sebagai pemakan sayuran mesti jauh lebih murah.  Disamping itu, mengikut pakar, sitem penahanan badan jauh lebih baik.  Pemakan sayur dan buah-buahan juga mendapat banyak vitamin A, E dan fiber yang baik untuk mengnyahkan toksin serta menghasilkan kulit yang lebih sihat.

Oleh kerana diet sayuran juga adalah rendah lemak dan kolestrol, ia membantu menjaga berat badan.  Malah mengikut kajian pakar, pemakan sayur mempunyai risiko 50 peratus lebih rendah untuk mendapat komplikasi jantung.

Thursday, September 30, 2010

SEKADAR SUKA PADANYA

Saya rasa sedih juga apabila mendengar  berita bahawa pelakon Tony Curtis telah meninggal dunia.  Saya memang meminatinya dari sejak kecil lagi.

Sewaktu zaman remaja saya menonton semua filem-filemnya yang datang ke Malaysia.  Jika boleh saya ulang-tengok lagi.

Sebenarnya saya bukanlah sampai ke tahap sangat teruja dengan Tony Curtis.  Saya suka caranya yang membuat saya terhibur.  Kira-kira sekadar sangat suka padanya.

Memang Tony Curtis adalah seorang pelakon veteran kerana telah membintangi 120 buah filem.  Di samping mendiang juga adalah seorang peniup seruling yang berjaya dan seorang pelukis yang disegani.  Ada hasil lukisan-lukisannya di 'Museum of Modern Art' di New York.

Thursday, September 23, 2010

BERAYA LAGI

Baru saja habis berkemas.  Tetiba semalam, suami kata ada rakan pejabat nak datang beraya pada hari Sabtu nanti.  Anak pun kata kawan-kawannya nak datang beraya juga.

Aduhhh.  Nak kata apa.  Orang cakapa nak datang takkan pula kita cakap tak boleh datang.

Setiap tahun rasanya begitu.  Orang mengambil peluang untuk berziarah di bulan Syawal.  Yalah, raya setahun sekali saja.

Nampaknya terpaksalah mengeluarkan semula pinggan mangkuk yang sudah disimpan.  Sekarang tengah fikir nak sajikan makanan apa nanti.

Monday, September 20, 2010

MENGEMAS PULAK

Kira-kira sudah habis kita beraya.  Walaupun bulan Syawal sebulan, memang kita beraya beberapa hari saja.  Bila orang sudah mula bekerja balik, orang akan hanya berkujungan pada hari minggu saja seperti selalunya.

Anak-anak sudah bersekolah semula atau pun sudah balik kuliah.  Bapanya juga sudah balik bekerja.  Jadi tinggal emak-emak yang tak bekerja saja yang ada di rumah.

Nampaknya memang banyak kerja yang mesti dibuat.  Pinggan mangkuk dan alat-alat hidangan mesti disimpan semula.  Semua mesti dibersihkan dan dikemas kembali.

Fikir pun dah rasa letih.  Tambahan lagi begitu banyak serpihan-serpihan biskut dicelah-celah sofa.  Aduh, lece betul kerja ini!

Thursday, September 9, 2010

RAYA RESMI HARI JUMAAT

Sekarang resmilah hari raya jatuh pada hari Jumaat.  Pandai juga blogger Asan membuat ramalan.  Awal-awal lagi dia yakin raya jatuh pada hari Jumaat.

Sempena hari yang mulia, setelah sebulan menjalan ibadah di bulan Ramadhan yang unggul, saya juga ingin mengucapkan selamat untuk semua Ummah.
SELAMAT
HARI RAYA AIDILFITRI

Maaf Zahir Batin

Semoga semua ceria gembira bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.  Bagi yang bbalik kampung dan berjalan jauh, berhati-hatilah di jalanraya.

Tuesday, September 7, 2010

TAK RASA NAK RAYA

Orang seperti teruja saja nak Raya.  Tetapi di dalam keluarga kami, sepertinya semua orang tak ada mood.  Memang terasa sangat kelainannya.

Orang buat kueh, kita pun ikut buat kueh.  Namun setelah itu pun tidak juga menaikkan semangat Raya!

Entahlah.  Tak tahu pula di mana tak kenanya?

Friday, September 3, 2010

RAMAINYA ORANG

Di kompleks-kompleks tertentu yang mewah kelihatan tidak ramai orang pergi membeli belah.  Malah semalam saya lihat di Pavilion seperti amat lengang sekali.  Hampir semua store jenama mewah tak ada pembeli.  Pembantu-pembantu kedai dan jualan duduk-duduk saja.

Semalam anak dan suami telah ambil cuti untuk tujuan membeli beberapa persiapan.  Mula tu kami anak beranak pergi ke Pavilion kerana nak mencari baju kemeja T untuk suami saya.  Malangnya tak ada pula kerana mereka membawa koleksi musim sejuk.  Kami jalan keliling juga.  Suasana sepi saja.  Tak nampak suasana Raya.

Tetapi sebaik sampai di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, aduh ramainya orang!  Jalan masuk dihadkan.  Jadi terpaksalah pusing ikut jalan jauh.  Begitupun tak dapat juga tempat untuk parkir kereta.  Hujungnya kami letak kereta jauh dekat Jalan Abdullah dan terpaksalah berjalan jauh.

Letih juga berasak dengan orang ramai.  Tetapi kalau tak pergi sekali, rasa macam tak lengkap pula! Hehe.

Saturday, August 28, 2010

MULA BUAT KUEH RAYA

Anak-anak sudah sibuk bertanya soal kueh dan juadah raya sepanjang minggu ini.  Jadi hari ini saya dengan bantuan anak perempuan pun mulalah membuat biskut raya.

Pagi tadi mula-mula sekali kita orang buat jem nenas dulu untuk biskut tart.  Setelah jem masak, saya memang sejukkan dulu betul-betul.  Insya Allah, esok bolehlah buat biskut tart.

Hari ini saya buat biskut badam dan biskut conrflakes.  Jumlahnya mestilah banyak kerana nanti anak-anak akan ulang makan sebelum Hari Raya lagi.  Kita orang selalu buat janji awal-awal lagi iaitu balang khas untuk hidangan Hari Raya tidak akan disentuh.  Kalau tidak nanti asyik kerja buat biskut sajalah.

Tahun ini mungkin semua biskut akan dibuat sendiri.  Semua yang membuat biskut jualan sudah menaikkan harga.  Bila dinilai, dengan menggunakan modal suku saja dari harga belian saya boleh mendapat kuantiti empat kali ganda.  Insya Allah, setakad beberapa jenis tu mampulah menggunakan tenaga sendiri dan tenaga anak.

Thursday, August 19, 2010

TERINGIN SAMBAL PETAI


Gambar Sambal Petai

Teringin pulak nak makan sambal petai.  Tetapi malas  pulak nak buat.  Dah dua hari pergi cari kat pasar Ramdhan tapi yang dijual tu tak pulak berkenan.

Biasanya yang dijual di kedai makan tu jenis basah berminyak dan petainya seperti kena rebus.  Saya teringin nak makan yang petainya masak seperti digoreng rangup.

Saya berkenan masak petai seperti di dalam gambar  di atas.  Nampak sedap kan?

Friday, August 13, 2010

BANYAK MAKANAN HARAM

Hari ini ada berita tentang banyak hotel menyajikan makanan yang mengandungi arak dan alkohol dalam hidangan Buffet Ramadhan.  Sudah lama terdengar cerita-cerita begini tapi tak ada orang dari pihak berkuasa agama tampil memberi penerangan dan fatwa.

Sekarang banyak orang suka pergi makan di majlis berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka.  Katanya halal tetapi sekarang terbukti tukang masak di hotel-hotel berkenaan mengaku mencampurkan arak dan sos beralkohol ke dalam masakan bagi menambah perisa hidangan.

Pemimpin pun memimpin pergi makan di hotel-hotel ini.  Allah hu Akbar, betapa ramai orang ikut saja.  Semoga Allah SWT memelihara kita. Amin.

Wednesday, August 11, 2010

RAMADHAN BERSAMA KITA

Kini kita diberkati untuk berada di bulan Ramadhan yang mulia ini sekali lagi.  Bulan ini menjanjikan ganjaran yang sungguh baik untuk kita.

Selamat berpuasa kepada semua rakan muslimin dan muslimat sekalian.  Semoga kita diberkati untuk dapat mempertingkatkan segala amalan-amalan yang baik.  Marilah juga kita bermuhasabah diri dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

Saturday, August 7, 2010

SHOPPING RAYA

Hari ini saya anak beranak pun nak ikut sama menyibuk membeli-belah untuk Hari Raya nanti.  Bukanlah teruja sangat, tapi rasanya lebih baik selesaikan membeli segala apa barang bersabit Raya.

Anak-anak nak membeli kasut dan songkok, sementara bapanya nak mencari kain pelikat untuk disedekahkan.  Saya pula nak ikut pergi menyibuk saja. :)

Jika tunggu puasa, nanti keadaan akan menjadi sesak.  Bila berpuasa tu nanti perit juga rasanya.  Bila panas  dan perut lapar, angin pun nanti akan kencang sikit.  Tak gitu?

Thursday, August 5, 2010

RAMAI MANGSA KELUARGA SENDIRI

Hari ini kita mendengar cerita nenek sendiri melindungi perbuatan datuk tiri memuaskan nafsu di tubuh cucunya.  Gadis berumur 13 tahun itu sudah menjadi habuan serakah si terkutuk selama lima tahun.  Kini dia berada di tingkatan satu dan belajar di sekolah berasrama.  Ini memberi peluang kepadanya untuk mencari jalan keluar yang kemudiannya mendedahkan perbuatan terkutuk itu.

Kini semuanya sudah ketahuan, mangsa bersama ibunya membuat laporan polis.  Neneknya pula malah ikut lari menghilang bersama suaminya yang merupakan datuk tiri gadis sunti ini.

Ada beberapa ciri yang mencorakkan cerita ini.  Ciri-ciri yang ketara ialah ramai gadis yang menjadi mangsa anggota keluarga mereka sendiri terdiri dari keluarga yang duduk di dalam kawasan luar bandar, atau yang di kawasan yang belum pesat maju.  Mereka biasanya juga dari keluarga berpendapatan rendah dan mereka tidak mempunyai didikan agama yang sempurna.

Semasa kecil dulu lagi saya sudah mendengar tentang cerita adik atau kakak menjadi mangsa abang atau lelaki mereka hingga mengandung.  Tetapi perbuatan mereka dilindungi oleh keluarga kerana takut ketahuan dan tidak mahu menanggung malu.  Ada juga bapa haruan makan anak dengan bergilir meniduri isteri dan anak sendiri yang sedang meningkat dewasa.  Mak bersekongkol juga.

Semuanya adalah kerana kejahilan mereka serta perasaan takut yang melampau.  Ini gejala sosial yang mesti ditangani di akar umbinya.

Friday, July 30, 2010

Kita ada kira-kira sepuluh hari dalam bulan Sya'aban tahun ini. Semalam saya dengar elok juga kita menggandakan bacaan berikut sebanyak mungkin untuk mendapat sebanyak kebaikan.

LA ILA HA ILLALLAHU WA NA'ABUDU ILLA IYYA HU MUKHLIZHINA LA HUDDINA WA LAU KARIHAL KAFIRUN.
Maksudnya:

Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dianya dengan ikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.
Diriwayatkan bahawa akan ditulis Allah SWT baginya ibadat seribu tahun, dan dihapuskan daripadanya dosa seribu tahun, dan keluar ia dari kuburnya dengan muka seperti bulan purnama dan ditulis sebagai 'Sidiqqa.'

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan saham akhirat.

Wednesday, July 28, 2010

ANGIN RIBUT BAWA MUSIBAH

Sekarang ini selalu saja hujan dengan angin ribut dan petir.  Kalau sedang memandu tu memang rasa seram selagi masih dalam perjalanan.  Kecut perut dibuatnya.

Kita selalu dengar berita tentang pokok terbungkas dan tumbang, bumbung rumah bertebangan dan juga rumah runtuh. Pendek kata, angin ribut memang sinonim dengan musibah.

Oleh itu kita diajar supaya sentiasa memohon doa semoga dijauhkan dari bala dan mala petaka dari kejadian alam semula jadi ini seperti ini.  Al Quran penuh dengan pedoman untuk kita mohon perlindungan dari Allah Yang Maha Esa.

Memang sukar untuk kita dapat menghafal segala macam doa yang kita sendiri kurang mengerti maksud dan maknanya.  Ada ulama berkata, sebenarnya doa boleh di dalam apa juga bahasa, tetapi biar dengan peradapan selaras dengan seruan agama.

Jadi bermakna kita boleh berdoa didalam bahasa Melayu saja.  Tetapi semua doa mestilah didahulukan dengan puji-pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW.  Hati juga mesti tulus mengharapkan pertolongan dan keredhaan Allah semata.

Saturday, July 24, 2010

SEDAP PETAI

Orang kampung dan orang dulu-dulu memang suka makan petai.  Tanpa mendapat pelajaran formal pun mereka meyakinkan anak-anak bahawa petai itu baik untuk kesihatan.  Jadi semua digalakkan makan petai kerana khasiatnya.

Antara khasiat petai yang utama ialah petai boleh membantu stabilkan darah serta mengurungkan kadar gula dalam badan.  Oleh kerana mengelak adalah lebih baik dari mengubati, anak-anak di ajar makan petai dari kecil lagi.  Bila sudah terbiasa, jadi tak menjadi masaalah lagi.  Sama macam kita makan nasi jugalah.

Sebenarnya petai memang sedap.  Walaubagimanapun, ramai juga orang tak gemar memakannya.  Biasanya mereka ini ialah dari golongan yang kenal petai setelah meningkat dewasa.

Kalau petai di makan mentah tu tak adalah variasinya.  Tapi jika mahu digunakan dalam masakan, banyak caranya.  Macam-macam boleh buat.

Biasanya orang buat sambal tumis petai.  Ia boleh dibuat sambal petai kosong atau pun dicampur dengan ikan bilis, udang, atau sotong.  Ramai juga buat masak lemak.  Ia sedap juga dibuat bersama sambal tempoyak.  Kita boleh juga nasi goreng petai.

Pendeknya terpulang kepada citarasa masing-masing.  Sedap petai akan menambahkan sedap masakan.  Tetapi kalau tak berapa kena masakannya mungkin akan mengurangkan rasa sedapnya.

Sunday, July 18, 2010

TUKAR WAJAH LAGI

Macam-macam pula saya ini.  Selalu jalan-jalan tengok orang hias rumah cantik-cantik, saya pun tukar juga lagi perhiasan dan susunan di blog saya ini.  Ingat nak letakkan warna merah biar lagi ceria tapi jadi macam kusam pulak.

Jadi akhirnya inilah rupa baru blog saya.  Cari punya cari akhirnya kombinasi ini yang berkenan.  Tapi guna warna kuning raja pulak.  Harap tak apa-apalah ya. :)

Wednesday, July 14, 2010

DOSA BESAR ANAK LELAKI

Saya amat sedih membaca berita seorang bapa terpaksa membawa kes menuntut nafkah untuk dua cucunya daripada anaknya sendiri.  Bapa yang sudah memasuki usia warga emas dan isterinya membayangkan kepedihan setelah anak sulung mereka tidak pernah menjengok selama 7 tahun selepas berkahwin baru.

Hairan juga, di mana keberkesanan kursus perkahwinan yang diwajipkan ke atas pasangan yang akan berkahwin.  Apakah tanggung-jawap yang sebegini penting tidak dimasukkan dalam modul?

Allah SWT hanya memberi keredhaan kepada seorang anak yang mendapat keredhaan ibu bapa mereka.  Ini lebih-lebih lagi bagi seorang anak lelaki.  Tidak berbau Syurga anak lelaki jika dia mengabaikan tanggung-jawap kepada ibu bapa.  Kalau dia pulak tunduk kepada kemahuan isteri, maka sudah berlipat-ganda dosa.  Kedua-duanya tidak berbau Syurga!

Friday, July 9, 2010

PENIPU DAN PEMBELIT

Selagi ada manusia yang mudah tertipu dan mudah makan pujukan selagi itulah akan ada penipuan.  Memang kebanyakan manusia cerdik, dan tahu cara untuk memanafaatkan peluang.  Tetapi tak semua orang suka mengambil kesempatan diatas masaalah, kesusahan dan penderitaan orang lain.

Itulah bezanya di antara orang yang beriman dan mereka yang kurang atau tidak beriman.  Orang-orang beriman takut kepada azab dan balasan dari Allah SWT.  Tetapi mereka yang suka mengambil kesempatan dan menindas orang-orang yang bermasaalah  hanya mementingkan kemewahan di dunia dan keuntungan yang akan didapati.

Hari ini kita membaca berita tentang ratusan andartu ditipu jutaaan Ringgit gara-gara termakan janji manis dan keseronokan yang digulai oleh rakan di laman sosial.  Polis berjaya menumpas aktiviti sekumpulan pelajar asing yang memanafaatkan situasi kesunyian yang dirasai oleh andartu.

Andartu-andartu berkenaan termakan pujukan pelajar-pelajar Afrika.  Nampaknya orang-orang Afrika memang pandai memikat.  Mangsa-mangsa ini terkena jerat 'African Scam.'  Bukan calang-calang mangsa mereka.  Mereka memperdaya wanita Malaysia berpelajaran tinggi yang masih solo dalam umur 40 -50an.

Tak lama dulu kita diberitahu ada isteri-isteri yang kesunyian dan kurang mendapat perhatian sanggup memberi ribuan ringgit kepada kekasih gelap mereka warga Afrika juga.

Bila la manusia akan insaf?  Jawapannya seperti mudah, iaitu mereka perlu beriman dan berpegang kepada ajaran Islam.  Tetapi realitinya, tidak mudah untuk merealisasikan keadaan di mana semua orang beriman.


Rohaimi berkata, sindiket itu didalangi warga Afrika dan semakan ke atas nombor akaun bank digunakan untuk mengikis wang mangsa didaftarkan atas nama warga tempatan dipercayai turut bersubahat.

Tuesday, July 6, 2010

JUARA MENTOR LAYAK

Pemenang Mentor 2010 

Saya ikut gembira dengan kemenagan remaja Mohd. Izwan Mohd. Nor, atau Mohd dalam pertandingan Mentor 2010 ini.  Bukan apa, walau dikelilingi dengan bintang-bintang, dan sudah berumur 22 tahun, dia kelihatan sangat polos.

Tak kiralah samaada salah satu sebab dia menang itu adalah kerana populariti mentornya iaitu Ziana Zain sendiri.   Tetapi jelas dia mempunyai bakat dan telah berusaha keras untuk memenangi pertandingan ini.  Juri-juri profesional telah memberi komen yang positif dan menggalakkan.

Jadi tak payahlah kecuh-kecuh mempertingkaikan kemenangan Mohd Izwan ini.  Hadiah kemenangan RM100,000 memang layak diterima olehnya.  Semoga dia dapat bersinar untuk turut memeriahkan dunia seni tanahair.

Sunday, July 4, 2010

DEMAM BOLA BERTERUSAN LAGI

Ingat kan apabila pasukan kegemaran sudah kalah, habislah cerita.  Rupa-rupanya suami dan anak-anak sudah mengalih arah menyokong pasukan lain pula.  Aduh! geram juga rasanya.

Apa tidaknya, habis mereka sepah-sepah di ruang keluarga kerana TV besar ada di sana.  Setiap malam ada perlawanan, tiap seorang menarik tilam mudah-alik dan bantal ke ruang ini.  Makan, minum dan terus tidur di situ.

Pendek kata mereka terus monopoli ruang ini.  Bila pagi, semua berkejar nak pergi kerja, pergi kuliah dan pergi sekolah.  Semua mereka tinggal berselerak.

Ini nampaknya akan berlanjutan sampai ke hari terakhir Piala Dunia la.  Apa tidaknya, sekarang sokongan individu sudah berbelah-bahagi.  Mereka lawan bertaruh pula.  Siapa kalah kena belanja makan malam di Restoran terkemuka pilihan yang menang!

Friday, June 25, 2010

KENDURI NASI BERIANI

Akhirnya setelah beberapa kali cuba mencari nasi beriani yang dikatakan sedap dapat juga dibeli.  Rakan blogger yang berkongsi bahawa ada nasi beriani sedap dijual pada hari Jumaat berhampiran dengan Masjid Al Taqwa di TTDI.

Memang ramai betul pelanggan yang beratur untuk membeli dan makan sebelum masuk sembahyang Jumaat.  Periuk besar-besar macam orang berkenduri pulak.

Saya pun beraturlah juga.  Tak ada siapa pulak kata supaya pergi ikut belakang jika nak tapau.  Saya pun terlupa yang hari itu sudah dipesan oleh rakan blogger supaya pergi ikut belakang saja.

Apapun memang boleh disahkan sebagai nasi beriani yang sedap.  Saya beli ketiga-tiga jenis lauk sekali iaitu ayam, kambing dan daging.  Paling sedap ialah kambing!


Sunday, June 20, 2010

MENJADI BAPA DI HARI BAPA

Suami hampir pengsan.  Saya pula terkedu langsung tak dapat berkata pun.  Anak-anak yang lain juga begitu terkejut untuk mengeluarkan komen mereka.

Anak sulung saya datang ke rumah sekitar tengahari tadi untuk memberitahu bahawa dia sudah menjadi bapa pada hari ini.  Tiada siapa di antara kami yang tahu bahawa dia telah mengahwini juga kekasih hatinya.

Kami sekeluarga memang menentang bila anak saya memberitahu dia mahu berkahwin tahun lepas.  Perempuan yang kini menantu saya adalah berbangsa dan beragama lain serta dari keluarga yang amat sosial.

Anak sulung saya memang bekerja di Penang sebelum ini.  Jadi kami tidak menghidu perkara seperti ini.  Rupa-rupanya mereka berkahwin juga.  Dua bulan lepas dia sudah ditukarkan balik ke sini, tetapi dia memberitahu.

Sampai di saat ini saya terlalu amat sedih.  Tetapi apa yang dapat dilakukan?  Dia bukan saja sudah berkahwin, malah hari ini, anak sulung kami juga sudah menjadi seorang bapa.

Nasib baik kami tidak penyakitan.  Suami saya memberi kata putus bahawa beliau tetap dengan keputusannya kerana anak saya telah memilih jalannya sendiri.

Tetapi hati seorang ibu tidak begitu.   Walau marah, walau sedih, ibu mahu anak-anak sentiasa di samping, sentiasa memberitahu apa mahu dan apa buat anak-anak.

Walaupun anak sudah menjadi bapa, suami menjadi datuk dan saya menjadi nenek, Hari Bapa, hari ini amat menyedihkan.

Thursday, June 17, 2010

AZRINAZ SUDAH BERSTATUS JANDA

Memang manusia berdepan dengan tuah dan musibah yang berbeza-beza.  Ada kalanya tuah membawa rezeki yang melimpah ruah.  Di masa lain, musibah meragut segala kekayaan dan kebahagiaan.

Berkias-kias pula saya.  Sebenarnya saya nak berkongsi berita yang sudah jelas dan nyata.  Mungkin tidak begitu mengejutkan.  Tetapi terasa juga kesannya apabila diumumkan bahawa Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah menceraikan Azrinaz Mazhar Hakim, bekas kakitangan selebriti TV3.

Mereka berkahwin pada tahun 2005.  Selepas kelahiran dua cahaya mata, seorang putera pada tahun 2006 dan seorang puteri pada tahun 2008.

Pada lewat semalam, Istana Brunei telah mengumumkan bahawa segala anugerah penghormatan dan gelaran Di Raja telah ditarik balik.

Azrinaz Semasa 'Bahagia'

Gambar di atas adalah antara kenangan Azrinaz bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu'izuddin Waddaulah dan isteri pertama baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Ketika gambar itu diambil pada tahun 2008, Azrinaz bergelar Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim.  Harini beliau sudah berstatus janda.

Sunday, June 13, 2010

REMAJA SAMSENG

Apabila semakin banyak remaja dan kanak-kanak menjadi hantu, pelesit dan samseng serta parasit, bermakna sistem pembelajaran formal dan informal kita begitu pincang.  Diibaratkan anak-anak yang terdidik baik dibandingkan dengan mereka yang keliru dan tercelaru.

Suasana sekeliling adalah acuan pembentuk yang menentukan rupa bentuk ahli masyarakatnya.  Menteri dan pemimpin masyarakat tak boleh mencari kesalahan pada mangsa keadaan itu.

Sistem pelajaran kita tidak cukup menyeluruh untuk membentuk insaniah dan jati diri.  Pelajaran moral, sivik dan agama tidak cukup kerana modulnya tertentu kepada beberapa masa yang amat singkat untuk beberapa tahun pembelajaran.  Di samping itu sistem kita mendukung sistem yang menghukum, bukan sistem mendidik.

Ini amat berbeza dengan sistem menyeluruh seperti di Amerika umpamanya.  Setiap penuntut diwajibkan mempelajari mata-mata pelajaran ini hingga ke peringkat universiti.

Banyak institusi juga menjana sistem penghukuman yang lebih mirip kepada sistem mendidik agar mereka dapat menjadi insan yang lebih baik.  Umpamanya, seorang remaja yang ditangkap kerana mencuri di supermarket akan didakwa tetapi hukumannya adalah khidmat sosial dan kemasyarakatan untuk satu tempuh agar mereka insaf dan belajar mengenal budaya kerja yang baik.

Bila semakin banyak remaja menjadi penjenyah dan samseng di Malaysia, kita harus mempersalahkan sistem yang ada.  Pemimpin tidak perlu saling tuduh menuduh.  Apa yang perlu dilakukan ialah menggembeling tenaga mencari jalan penyelesaian terbaik.

Thursday, June 10, 2010

KAREKTOR AP-AP BN???

Kecoh betul dengar cerita di Parlimen semalam. Menurut berita dua AP dan seorang senator BN telah menceroboh majlis perbincangan antara ibu-bapa penuntut cemerlang keturunan India dengan beberapa AP dari Pakatan Rakyat.

Ternyata pihak Sekretariat Parlimen sendiri telah memberi izin untuk kumpulan ibu-bapa dengan AP-AP Pakatan Rakyat itu.  AP dan senator BN itu ternyata tidak bijak menangani permasaalahan.  Mereka berlagak samseng.  Orang yang bijak dan baik budi pekerti akan bertanya dan selidik dahulu tentang keadaan sebenar.

Geli hati juga.  Ini melibatkan AP Bung Mokhtar Radin yang mempunyai kes dengan Mahkamah Syariah tentang perkahwinannya dengan artis Zizie Izette.  Bung Mukhtar ini mempunyai reputasi menimbulkan pelbagai kekecuhan tentang pelbagai isu di Parlimen.

Apapkah ini karektor seorang yang layak duduk sebagai wakil rakyat?

Wednesday, June 2, 2010

REGIM ISRAEL BINATANG

Pada hari Isnin lalu, pasukan komando tentera laut Israel telah menyerang kapal pembawa misi kemanusiaan flotilla ke Gaza.  Mereka telah mengempur dan mengakibatkan beberapa aktivis 16 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera.  Ini mengundang reaksi kemarahan dari seleuruh dunia.

Regim Israel memang kejam ala binantang lagaknya.  Kita memang mengutuk tindakan keji dan tidak berperi kemanusiaan itu.

Diberitakan Israel akan membebaskan semua aktivis dan sukarelawan asing yang ditahan dalam serangan itu.  Katanya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pembebasan itu selepas mesyuarat kabinet mereka.  Mereka telah mengambil kira tekanan ketua-ketua negara dunia yang mendesak supaya siasatan dijalankan segera mengenai serangan komando tentera Yahudi di perairan antarabangsa dan meminta Israel membebaskan kesemua tahanan.

Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.  Semua warga asing yang ditahan di atas kapal pembawa misi kemanusiaan itu akan dihantar pulang ke negara masing-masing Khamis ini.

Kita sama-samalah mendoakan supaya rakyat kita yang turut ditahan akan segera pulang ke Malaysia.  Semoga mereka selamat dan tidak mengalami trauma yang berat.

Wednesday, May 26, 2010

TARIKAN WARGA TEMPATAN ATAU TARIKAN WARGA ASING?

Nampaknya tiada noktah hentinya dengan jalinan kasih di antara warga tempatan dengan warga asing.  Ia bukan perkara baru pun.  Sejak dari zaman datuk nenek kita lagi perkara seperti ini berlaku.  Cumanya sekarang selalu diperhebohkan.

Banyak berlaku perhubungan kasih di antara rakyat tempatan dengan warga asing.  Ada yang membawa  hingga ke alam perkahwinan.

Di zaman moyang dan datuk nenek kita, hampir semuanya melibatkan perempuan tempatan dengan warga lelaki asing.  Berapa banyak di antara keturunan kita yang moyang dan datuk lelaki itu dari keturunan India, Cina, Pakistan dan lain-lain bangsa lagi.  Yang tidak Islam pun telah memeluk agama Islam.

Ada di antara moyang dan datuk dari keturunan India telah balik semula ke India dan meninggalkan pasangan mereka di sini menjadi janda atau digantung tidak bertali.  Kebanyakan yang berkahwin dengan bangsa lain jarang berlaku perkara itu.  Cuma ada yang berkahwin dengan Mat Salleh dan Jepun itu saj yang menurut suami mereka balik ke negara asal si suami.

Nak katakan ini satu fenomina pun bukan semua menimbulkan masaalah.  Banyak yang kekal bahagia.  Yang sering dibicarakan ialah segolongan kecil yang menghadapi masaalah

Rasanya tarikan ini bukan unik untuk pasangan warga tepatan dan warga asing saja.  Dalam perhubungan pasangan sesama warga tempatan pun tidak banyak bezanya kan?

Friday, May 21, 2010

WAJIB ASING SAMPAH

Kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepjal Negara, kerajaan akan mewajibkan pengasingan sampah di rumah menjelang 2013.  Langkah itu katanya akan sekali gus dapat mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar.

Perlaksanaan sistem ini akan dilakukan dalam tempoh dua tahun selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dikuatkuasakan.  Mengikutnya ini adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Kabinet sebelum ini yang mahukan Akta berkenaan dikuatkuasakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Inilah yang saya selalu bercanggah pendapat dengan peneraju negara dan jentera perkhidmatan awam.  Setiap kali sistem yang ternyata indah di atas kertas itu yang mahu dilaksanakan.  Sementara prasarana dan dukungan khidmat masih terkontang-kanting.

Di merata tempat, jadual kutipan sampah pun masih tidak efisyen.  Kita letak sampah elok-elok pun, kemudian ada la sipengutip-pengutip bahan-bahan buangan yang ada harga seperti tin minuman dan kotak-kotak.  Habis berterabur segala sampah yang kita telah ikat kemas.

Tahap kesedaran dan rasa bertanggung-jawap di kalangan rakyat seluruhnya amat rendah.  Mana mungkin segalanya dibebankan keatas tuan rumah sahaja.  Seluruh persekitaran dan ahli-ahli masyarakat mesti dididik supaya mempunyai kesedaran dan rasa tanggung-jawap ini dahulu.

Maknanya, sistem persekolahan dan kurikulum tu mesti merangkupi aspek-aspek moral yang akan mendukung misi ini.  Kemudian sistem kutipan segala bahan buang mesti efektif dan efisyen.

Saturday, May 15, 2010

SELAMAT HARI GURU

Secara kesuluruhannya, guru banyak berjasa kepada anak-anak watan dan negara.  Walaupun sekarang banyak guru yang berkerja makan gaji mencari punca pendapatan sebagai saraan hidup, masih ada yang menabur bakti dan jasa dengan keihklasan hati.

Semoga lebih banyak guru yang lebih berdedikasi mencurahkan tenaga menabur bakti untuk mendidik anak bangsa.  Janganlah banyak komplen dan merungut kerana anda telah memilih untuk berada di kerjaya ini.  Anda sendiri memilih untuk memikul amanah ini.  Jadi lakukanlah dengan penuh tanggung-jawap.

Selamat Hari Guru untuk semua warga guru di seluruh negara.

Wednesday, May 12, 2010

SIKAP PENGURUSAN PLKN

Berita lahirnya seorang bayi di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah amat mengejutkan.  Tak cukup dengan pelatih trauma, jatuh sakit dan mati semasa menjalani kem latihan, kini pelatih melahirkan seorang bayi pulak.

Jelas terdapat banyak kelemahan dalam penyelengaraan PLKN ini.  Selepas mereka berjanji akan menapis tahap kesihatan dan kesesuaian pelatih, seorang pelatih yang mengandung boleh terlepas untuk menghadiri latihan juga.

Benarkah mereka yang di dalam panel pemeriksaan kesihatan itu menjalankan kewajipan mereka?  Jika pemeriksaan dijalankan dengan bertanggung-jawap, seorang remaja yang mengandung di tahap akhir tidak akan terlepas dari dikesan.  Kemudian jika ada sistem saringan yang jujur dan telus, perkara seperti ini pasti tidak akan berlaku.

Jadi kita tertanya-tanya juga, apakah program PLKN ini mencapai matlamatnya setelah sekian lama ianya dikendalikan?

Saturday, May 8, 2010

BLOGWALKING

Sebenarnya, saya ni lebih banyak memikir bagaiman nak mencantikkan blog dan juga nak mencari ramai kawan yang akan sentiasa berhubungan.  Jadi saya blogwalking juga seminggu ni dan meninjau-ninjau.

Kesimpulan yang saya dapat ialah ramai orang yang mempunyai ramai 'followers' pun hanya berinteraksi dengan beberapa orang rakan sahaja.  Saya tak tahulah samaada itu memang kawan peribadi mereka di luar atau tidak.

Saya lihat ada blogger yang memang mempunyai misi untuk menjadikan blogging ini sebagai satu punca pendapatan.  Ini jelas yang letak bermacam-macam widget.  Ada widget gambar lucah pun ada, tapi tuan punya blog mempunyai imej bertudung.  Pelek juga!

Apa pun saya juga sudah dapat mengesan beberapa blog yang langsung tidak ada unsur untuk mencari pendapatan sampingan.  Harap-harap mereka dapat menjadi rakan blogger saya, kerana misi saya ialah untuk mendapat teman bicara.

Saturday, May 1, 2010

LEPAK DI RUMAH

Seharian ini semua anak-beranak malas nak pergi ke mana-mana.  Jengah ke luar, di jalanraya kereta asyik merangkak saja.  Tak tahu sampai bila la agaknya jalan tambahan itu akan siap!

Jadi, saya ajak anak-anak menolong membersihkan laman.  Kata mereka hari ini cuti, dan sepatutnya berehat saja.  Tapi saya dan suami pula berkata, 'nama pun hari pekerja, bila ada kerja tu kena juga kerjakan.'  Bila petang, laman nampak bersih dan kemas.

Oleh kerana semua anak-beranak sibuk membuat kerja, jadi kami main pesan saja makanan segera.  Abahnya pesan tiga biji pizza berlainan rasa.  Sekejap saja selesai. :)

Wednesday, April 28, 2010

MASAK DENGAN HATI

Saya teringat pesan Mak dulu.  Katanya, "Kalau tak tahu masak, masak gunakan hati dan rasa .. lama-lama jadi ahli."

Terbukti benar kata-kata Mak tu.  Setelah berkahwin baru saya belajar memasak.  Buka buku resipi, dan tanya sana sini.  Tak cukup dengan itu, saya cuba masak itu dan ini.  Seronok pula, bila lauk tak berapa jadi, kami suami isteri ketawa bersama.

Beberapa lama kemudian, saya sudah pandai dan sering mendapat pujian dari suami dan tetamu yang diundang makan ke rumah.  Sekarang ini, saya sering pula dicari sebagai pakar rujuk.  :)

Begitulah keadaannya, jika kita buat sesuatu itu dengan kerelaan diri sendiri.  Akhirnya, kita bahagia dengan pencapaian diri kita.

Monday, April 26, 2010

HP MURAHAN

Hari ini di Harian Metro ada menyiarkan berita tentang seorang mangsa kesal kerana tertipu dengan pembeliah handphones (HP) yang mahu diberi sebagai hadiah untuk isteri dan mertuanya.  Tapi yang hairannya, dia tidak rasa janggal atau mensyaki apa-apakah kerana membelinya daipada jurujual jalanan.

Mana mungkin ada orang menghampiri kita yang kita tidak kenali nya dan kita pula tidak mensyaki apa-apa.  Inikan pula bila orang itu menawarkan barang jenama berharga dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran.  Paling tidak kita mesti sudah tahu itu bukan barang jenama asli, atau sekurang-kurangnya kita akan mensyaki barang itu barang curi.

Apa pun cerita penjual, pembeli mestilah rasional dan bersikap bertanggung-jawap.  Pendeknya, jika dibeli juga, kena tanggung risiko sendiri.

Kalau HP cap ayam memanglah harganya amat murah.  Realiabiliti memang tak ada le.  Mana ada barang dibeli di jalanan yang ada gerenti.

Nasib jugalah dia pandai juga menjerat kembali penjual berjaya mendapat wangnya kembali.  Semoga itu satu pengajaran buat dirinya.

Saturday, April 24, 2010

AKHIRNYA BERJAYA JUGA!

Saya ikut nasihat yang disarankan oleh DDrfauziah iaitu untuk membuat balik semula. Katanya melalui komen di blog saya ialah seperti berikut:
DDrfauziah said...
Aslmkm.
Hmmm ... lebih baik dilakukan semua semula, lbh cepat selesai masaalah ini, insya Allah.
Bunyinya macam mudah saja.  Mula tu saya memang tak yakin sebab saya dah cuba buat macam-macam dan berkali-kali.  Lepas itu saya baru terperasan katanya untuk 'dilakukan semua semula.'  Jadi saya pun ikut la.

Mula-mula tu tak berhasil juga dan tak ada perubahan.  Saya ulang sekali lagi.  Baru la pula terperasan untuk klik 'link' di google tu.  Alhamdulillah, sekarang semua dah OK.

Saya buat N3 ini khas untuk mengucapkan terima kasih kepada DDrfauziah, yang membahasakan dirinya sebagai 'Kak G.'  Ya ke kakak?  Saya yakin saya lebih tua.  Terima kasih banyak G.

Thursday, April 22, 2010

NASIB SAYA LA AGAKNYA!

Sudah macam-macam saya buat.  Saya ikut nasihat kengkawan.  Tapi masaalah saya masih tidak dapat di atasi.

Kata kawan saya sebab saya masuk pergi daftar untuk google akaun tambahan tu.  Benda tu pulak kalau 'undo' habis terbatal seluruh akaun dan blog pun lebur, hancur semua yg di ikut dan pengikut juga.

Memang dah nasib saya la agaknya.  Harap-harap, selepas dah akaun tu semua dah settle sendiri dlm sistem la kut baru OK.  Nasib!!

Tuesday, April 20, 2010

IKUT TAULADAN PIMPINAN?

Seseorang Islam mesti sentiasa bersifat pemaaf dan pemurah.  Antara Khalifah Islam yang tersohor termasuklah Umar Al Khattab yang asalnya penentang Islam, dan sudah tentu melakukan pelbagai perkara yang tidak Islamik.  Allah SWT adalah Maha Pengampun, Maha Pemaaf.

Sekarang UMNO dan BN serta mereka yang seangkatan dengannya mencanangkan aib orang dan dosa-dosa lalu seseorang yang sudah mengaku bersalah dan memohon keampunan Allah SWT.  Apakah itu tidak bercanggah dengan seruan Illahi.

Apa pula contoh tauladan yang UMNO dan BN boleh sarankan dengan berita terkini di bawah ini yang melibatkan pemimpin UMNO?  Saya petik beritanya dari 'theStaronline':
Bung Mokhtar pleads guilty
to polygamy without consent

KUALA LUMPUR: Kinabatangan MP Bung Mokhtar Radin pleaded guilty Tuesday at the Gombak Timur Lower Syariah court to committing polygamy without consent.

His second wife Zizie Ezette A Samad also pleaded guilty to marrying without the consent of the marriage registrar.

Both were released on oral bail of RM500 each in one surety.

Five other men, including Zizie’s three brothers also pleaded guilty at the same court to abetting Bung.

Zizie and Bung were married on Dec 16 last year in Taman Melati.  Both were represented by counsel Amli Embong.

The duo came to court as early as 8.20am in good spirits and chatted with the journalists there.

They later left together in a black Porsche Cayenne at about 11.15am.

Sunday, April 18, 2010

HALAL KE HARAM?

Dari zaman datuk nenek kita lagi kita dengar cerita ini.  Orang-orang Indonesia dari pelbagai tempat dan ceruk masuk ke Malaysia secara haram.  Kemudian mereka menapak dan mereka nekad mencari kekayaan di Malaysia ini.

Banyak di antara kita dari keturunan yang datang secara haram dan mencari penghidupan baru di sini.  Bagi mereka yang mempunyai pendekatan mencari sebanyak harta, hari ini mereka ini sudah pun menjadi hartawan dan jutawan.

Bukan sesuatu rahsia, banyak orang Indonesia dari keturunan Jawa, Acheh dan Minagkabau membuat harta.  Mereka memugar tanah-tanah hutan dan kemudian hak geran bagi tanah yang dikerjakan itu.  Pedagang dan peniaga pula menapak menjadi taukey-taukey besar.

Orang Bumiputera asal, samaada Melayu atau orang asli dan kaum-kaum tempatan lain masih banyak yang susah dan papa.  Dimana silapnya?

Kemasukan secara haram dulu-dulu dan sekarang bukan penyebab untuk tidak dapat mendapat kekayaan.  Malah cara mendapat kekayaan itu pun sudah tentu juga haram.  Tetapi akhirnya semuanya menjadi halal!  Benar-benar halalkah?

Thursday, April 15, 2010

DAH KEMBALI PENING!!!


Saya ni lembab sangat agaknyer! Tak tahulah apa lagi tak kena. Rupanya masaalah tu berulang balik.

Bila saya cuba follow diri sendiri, OK pula .. keluar link elok je. Tapi kawan saya cuba follow balik dari blognya, katanya tak keluar link juga lagi. Dia bantu saya test berkali2. Nampaknya tak jadi juga. Hanya jika saya tinggal komen barulah kawan saya dapat link terus, buka dari situ baru dapat follow. Jadi saya yakin, jika saya follow bloggers lain, perkara sama berlaku.

Kata kawan saya mungkin lebih baik untuk saya cuba berpatah balik. Selepas tu barulah mula balik semula. Aduhai .. pening!

Jadi harap semua dapat faham dan mengerti. Saya akan cuba 'fix'kan perkara ini dulu. Besok, saya cek lagi. Selepas tu baru saya akan cuba semula dan saya akan follow balik semua. Terima kasih banyak ya.

[Re N3 Only]

MASAALAH DAH DI ATASI

Insya Allah masaalah saya telah dapat di atasi. Minta maaf ya. Saya terpaksa buat beberapa pembetulan. Semasa melakukan perkara ini, saya terpaksa 'unfollow' dulu. Sekarang dah follow balik. Harap-harap janganlah marah ya.

Saya masih dalam peringkat mencuba-cuba ni. Mungkin sedikit 'irritating' untuk beberapa ketika. Namun sebaik saja saya yakin semuanya sudah betul-betul berjalan dengan baik, saya akan lakukan secara baik juga :)

[Re N3 Only]

KENAPA PULAK TAK ADA TUNJUK LINK YA?

KENAPA PULAK TAK ADA TUNJUK LINK YA?

Nampaknya saya masih pening lagi ni. Kata kawan saya, bila klik gambar saya di carta 'followers' keluar format yang tak membolehkan orang terus link ke blog untuk memudahkan orang follow balik. ???

Tak faham lagi macam mana? Dah cek beberapa kali settings untuk semua; mana yang pasal link dah ditanda. Di mana lagi salahnya ya? Harap ada kawan blogger yang boleh kongsi ilmu pendidikan ini.

Sedia maklum sajalah. Saya ni orang baru, dan saya juga tidak ada ilmu teknikal IT. Namun ingin juga bersama mengikut keceriaan di Maya. Sudikan tolong ya. Terima kasih banyak. :) :)

[Re N3 Only]

MEMBETULKAN KESALAHAN TEKNIKAL

Minta maaf bebanyak kepada semua yang telah ikuti dan batalkan tadi. Sepertinya ada perkara yang tidak kena.

Kata kawan yang rekomen kepada saya untuk masuk ke Maya ini, saya mesti 'link' supaya mudah diikuti balik. Tetapi katanya dia membuka untuk follow saya, tidak ada 'link' berkenaan, kecuali pilihan untuk klik 'follow' dan tinggalakan pesan.

Jadi saya sedang cuba untuk membetulkan keadaan ini. Harap dapat memahami. Maklum sajalah saya masih baru, dan masih baru belajar cara-caranya.

Selapas dapat mengatasi masaalah di sini, saya akan ikuti semula. Pengertian semua amat dihargai.

[Re N3 Only]

MELANGKAH KE ALAM MAYA

Hari ini merupakan sejarah dalam hidupku. Telah lama saudara dan kenalan mengajak berblogging untuk mengisi waktu-waktu yang teruang. Tetapi rasa macam tak ada masa.

Namun hari ini, akhirnya terbuka juga hati untuk melangkah ke alam Maya ini. Harap-harap mendapat kebaikan nanti.

[Re N3 Only]